Pada 18 Mac 2026, Presiden RAFOC, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz bin Ibrahim (Bersara) bersama Ahli Jawatankuasa (AJK), dengan kerjasama Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang diwakili oleh Pengurus Kanan Korporat, Lt Kol Abd Talib bin Hj Darmawi (B), telah melaksanakan Program Penyerahan Sumbangan Kebajikan Sempena Hari Raya di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tuanku Mizan. Program ini dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan terhadap pesakit serta warga hospital. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Pemangku Pegawai Memerintah, Brig Jen Dr Loh Sheau Torng, bersama Ketua Bahagian Pengurusan, Kol Fauzi bin Mamat.

Delegasi RAFOC telah tiba di Lobi Utama, Aras 3 pada jam 10.00 pagi sebelum memulakan sesi lawatan ke wad-wad hospital secara berkumpulan. Lawatan ini bertujuan menyampaikan sumbangan Hari Raya di samping memberi sokongan moral kepada pesakit, khususnya dalam kalangan anggota tentera, veteran serta orang awam yang sedang menerima rawatan.

Lawatan telah dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memastikan liputan menyeluruh ke wad-wad utama hospital, antaranya Wad Perubatan Lelaki, Wad Ortopedik, Wad Obstetrik, Wad Pediatrik, Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Jabatan Kecemasan (ED), Unit Hiperbarik serta High Dependency Unit (HDU).

Sepanjang sesi lawatan, delegasi telah menziarahi pesakit di Wad Perubatan Lelaki dan Wad Ortopedik yang melibatkan anggota tentera, veteran serta orang awam. Selain itu, lawatan turut diadakan ke Unit Hemodialisis, di mana seramai lapan (8) pesakit sedang menjalani rawatan dialisis pada waktu tersebut.

Lawatan khas turut dimulakan di Wad VIP yang melibatkan kunjungan terhadap pesakit Pegawai Kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), iaitu Mejar Jeneral Dato’ Hj Marsalleh bin Hassim (Bersara), sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa serta pengorbanan beliau.6. Program ini telah berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari di Lobi Utama hospital. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyampaikan sumbangan kebajikan sempena Hari Raya di samping menyemai nilai keprihatinan, kebersamaan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat, khususnya terhadap pesakit yang memerlukan sokongan moral menjelang sambutan Hari Raya.